Saturday, November 21, 2009

Buat sang puteri

Assalamualaikum puteriku,

Siapalah diriku ini untuk membuat dirimu mengangis sebak. Apakah layak bagi diriku yang serba kekurangan ini untuk menasihatimu. Namun ingin jua kuluahkan apa yang telah lama kusimpan di dalam jiwaku yang lara ini supaya kau lebih mengerti,

Puteriku,
Kupasti dirimu sangat mengetahui bahawa engkau merupakan hiasan duniawi. Namun, fikirkan....layakkah gelaran itu dianugerahi untukmu sedangkan dunia pun tidak pernah kau hiasi dengan akhlakmu. Ketahuilah, sebaik perhiasan dunia adalah wanita solehah. Bukanlah niatku untuk mengguris hatimu duhai puteriku. Mungkin dikau berasa sedikit aneh, mengapa mulutku begitu lancang sahaja menuturkan kata-kata seperti ini. Kerana aku juga salah seorang daripada ummat Rasulullah yang sangat sedih dengan keadaanmu masa kini. Malah lebih tepat lagi kerana aku jua seorang puteri sepertimu. Moga kita terselamat daripada arus modenisasi dan ideologi barat yang terang-terangan menggugah kelahiran muslimah islam yang enar-benar mukminah.

Puteriku,
Dewasa ini, terkadang aku berfikir sendirian, tertanya-tanya penuh kemusykilan. Mengapa semakin hari, semakin ramai puteri yang kecundang di dalam lembah kemaksiatan yang penuh dengan tipu daya iblis 'aduwwullah! Kian ramai juga puteri yang lebih memilih untuk bertuhankan hawa nafsu yang bakal menjerumuskan diri mereka di lembah yang hina. Sedih sekali bila difikirkan kembali, aku juga seorang puteri sepertimu namun aku masih belum mampu menyedarkan dan menarikmu kembali kepada fitrahmu yang suci. Maafkan aku Rabb. Sesungguhnya hambamu yang hina ini masih mencuba mencari-cari kekuatan untukku bangkit semula meskipun bersendirian menangani ideologi hedonisme yang kian menular, merebak umpama racun berbisa yang menyerang puteri-puteri islam.

Puteriku,
Sebenarnya ingin aku mengungkapkan sesuatu namun ternyata terlalu sukar untukku ungkapkan. Aku merasakan.....ah!! Suatu perasaan yang begitu payah untukku gambarkan. Mungkin kau tidak mengerti jua memahami. Hakikatnya, ramai yang telah menyedari bahawa telah ramai puteri yang jauh daripada Rabbul Izzati. Benarkah puteriku? Ya Allah! satu kenyataan yang begitu sukar untuk ditelan. Siapa yang telah kau semadikan di hatimu mengatasi tuhanmu? Lelaki manakah yang telah merampas tempat Allah di hatimu? Iblis ketawa kegembiraan. Puas!!! Puas bila melihat ramai puteri yang telah tertipu masuk ke perangkapnya. Sesungguhnya telah terbukti bahawa 'couple' itu haram melalui firman Allah dalam surah Al-Isra'. Tiada juga istilah 'islamic couple' di dalam islam. Semua itu hanyalah tipu daya iblis semata-mata. Kebenaran pasti akan datang mengatasi kebatilan, sesungguhnya " no couple before akad".Janganlah kau biarkan dirimu sentiasa dalam kemurkaan tuhan yang esa.

Puteriku,
"Mujahidah solehah idaman setiap mujahid soleh". Sematkan kata-kata ini di hatimu. Semoga dirimu sentiasa berwaspada. Jangan kau biarkan seorang lelakipun menyentuhmu sekalipun menyentuh hatimu. Hanya lelaki yang benar-benar layak sahaja yang mampu memilikimu. Letakkan dirimu dalam peliharaan tuhanmu. Usahlah jua kau pamerkan keindahanmu kerana ketahuilah ia tidak akan pernah kekal malah pasti akan lapuk ditelan zaman.

Aku yakin puteriku, masih ada sinar harapan yang akan membuatku tersenyum bangga melihat puteri menjadi sayap kiri perjuangan suami. Akhir kata, jagalah dirimu kerana kau begitu berharga.